ISTIADAT PENTAULIAHAN DIRAJA PEGAWAI KADET PALAPES UNIVERSITI AWAM KE-38
3 ogos 2019
Seramai 1,560 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dari 18 universiti awam dan satu universiti swasta dari seluruh Malaysia dikurniakan watikah tauliah yang telah disempurnakan oleh Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dalam sebuah majlis istiadat gilang gemilang bertempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
​
Kesemua Pegawai Kadet tersebut adalah melibatkan 16 detasmen dari 18 Universiti Awam dan satu universiti swasta iaitu Akademi Laut Malaysia dan terdiri daripada 881 orang Pegawai Kadet Tentera Darat Malaysia (TDM), 330 orang Pegawai Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 349 orang Pegawai Kadet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). DYAM Tunku Mahkota Johor telah berkenan berangkat bercemar duli ke Istiadat Perbarisan tersebut dan telah berkenan menerima Tabik Hormat Diraja serta memeriksa perbarisan yang diketuai oleh Pegawai Kadet Terbaik Darat, Pegawai Rendah Muda Kamarul Hafizi bin Kamaruzaman dari PALAPES Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Dataran UTM.
Baginda turut menyempurnakan pengurniaan Anugerah Pegawai Kadet Terbaik kepada 34 Pegawai Kadet Terbaik UA.
DYAM Tunku Mahkota Johor juga turut berkenan mengurniakan watikah tauliah yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar kepada Pegawai-Pegawai Kadet PALAPES Darat, Laut dan Udara disusuli dengan bacaan ikrar Taat Setia Perwira, penyerahan skrol ikrar kepada Baginda dan diakhiri dengan penyampaian Perisai Panglima Tentera Darat bagi mengiktiraf detasmen terbaik perbarisan.